Sejarah Kampung Desa KEDA Nagalilit

Kampung KEDA Nagalilit merupakan kampung rangkaian dibawah Kampung Nagalilit iaitu kampung induk. Asal usul nama kampung ini bermula pada sebelum tahun 1987 di mana jalan yang menuju ke Kampung Nagalilit melalui jalan raya dari Kampung Permatang Durian, akan menemui sebuah bukit yang dikelilingi anak sungai.

Kedudukan anak sungai tersebut yang mengelilingi bukit kelihatan seperti naga yang sedang membelit. Dengan yang demikian, muncullah nama Nagalilit yang dikaitkan dengan bukit yang dililit oleh anak sungai yang menyerupai naga. Sehingga hari ini, nama kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Nagalilit.

Penempatan di Desa KEDA Nagalilit mempunyai lima (5) fasa. Bagi fasa pertama, sebanyak 57 buah rumah telah dibina dan diduduki pada tahun 2000, fasa kedua sebanyak 28 buah rumah telah dibina dan diduduki pada tahun 2004, fasa ketiga sebanyak 46 buah rumah telah dibina dan diduduki pada tahun 2008, fasa keempat sebanyak 14 buah rumah telah dibina dan diduduki pada tahun 2012 dan fasa kelima sebanyak 20 buah rumah telah dibina dan diduduki pada tahun 2014.